Ilustrasi robot yang didakwa boleh mengandung dan melahirkan anak sama seperti manusia.
BEIJING: Satu inovasi yang sebelum ini hanya digambarkan dalam filem sains fiksyen kini mula menjadi kenyataan apabila sekumpulan saintis di China membangunkan robot pertama di dunia yang berupaya mengandung sehingga tempoh matang dan melahirkan bayi.
Menurut Utusan Malaysia, robot berbentuk humanoid itu dilengkapi dengan rahim buatan yang menerima nutrien melalui saluran khas, menurut pakar dan dijangka diperkenalkan tahun depan dengan harga pasaran sekitar 100,000 yuan (RM58,000).
Usaha tersebut diterajui Dr. Zhang Qifeng, pengasas syarikat Kaiwa Technology, yang menegaskan peranti itu bukan sekadar inkubator, sebaliknya mampu meniru keseluruhan proses daripada persenyawaan hingga kelahiran.
Menurut beliau, teknologi rahim buatan sudah berada pada tahap matang dan kini perlu dipasang dalam abdomen robot, membolehkan manusia berinteraksi dengan robot bagi mencapai kehamilan.
“Perbincangan dengan pihak berkuasa di Wilayah Guangdong diadakan termasuk cadangan berkaitan dasar dan undang-undang,” katanya dalam temu bual di platform Douyin.
Walau bagaimanapun, butiran tentang kaedah persenyawaan telur dan sperma sebelum dimasukkan ke dalam rahim buatan masih belum diperincikan.
Pengumuman itu mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial China di mana ramai pengkritik menyifatkan teknologi tersebut tidak beretika serta menafikan hubungan semula jadi antara ibu dan anak dalam kandungan.
Namun, ada juga pihak yang menyokong kerana melihatnya sebagai usaha mengurangkan penderitaan wanita ketika hamil serta membantu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan.
Jika berjaya direalisasikan, robot kehamilan humanoid itu dilihat mampu menjadi satu daripada langkah menangani kadar kemandulan yang semakin meningkat di China.






























