Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Seramai lima individu akan didakwa terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, Rabu ini.
Menurut Utusan Malaysia, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua individu melibatkan mereka berusia bawah 18 tahun.
“Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini. Seramai lima orang yang akan dituduh dan mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membuat keputusan untuk menuduh beberapa orang suspek didakwa terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu tersebut.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan kes kematian Zara Qairina diteliti sebaik dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan telah membuat keputusan menuduh beberapa orang suspek yang terlibat berdasarkan keterangan yang ada.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada 4 pagi, 16 Julai.
































