KUWAIT CITY: Pihak berkuasa Kuwait menahan 67 individu termasuk seorang warga Bangladesh yang disyaki mengetuai sindiket penghasilan dan pengedaran arak buatan tempatan yang mengorbankan 23 nyawa dalam tempoh beberapa hari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri Kuwait dalam kenyataan di platform X memaklumkan, pihaknya turut menyerbu dan merampas enam kilang arak haram, serta menutup empat lagi kilang yang belum beroperasi, yang terletak di kawasan perumahan dan perindustrian.
Seorang warga Nepal yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa arak tersebut diproses menggunakan metanol, sejenis bahan kimia industri yang sangat beracun dan tidak sesuai untuk kegunaan manusia.
Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan selepas Kementerian Kesihatan Kuwait melaporkan sebanyak 160 kes keracunan metanol, termasuk 23 kematian, yang sebahagian besarnya melibatkan warga asing.
Daripada jumlah itu, 51 pesakit memerlukan dialisis kecemasan dan 31 lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Kedutaan India di Kuwait turut mengesahkan sekurang-kurangnya 40 rakyatnya dimasukkan ke hospital, dengan beberapa kes kritikal dan ada yang telah meninggal dunia. Namun, kedutaan tidak mengesahkan secara rasmi punca kesemua kes tersebut.
Kuwait, sebagai sebuah negara Islam, mengharamkan pengimportan dan pengeluaran alkohol. Undang-undang ini telah berkuat kuasa sejak 1964, manakala penggunaannya diklasifikasikan sebagai jenayah sejak 1980-an.
Namun, penghasilan arak secara haram terus berlaku tanpa pemantauan atau kawalan keselamatan, mendedahkan pengguna kepada risiko serius seperti keracunan metanol, yang boleh membawa maut.
Metanol adalah bahan kimia tidak berwarna dan beracun, lazimnya digunakan dalam produk industri dan isi rumah seperti pelarut atau bahan bakar. Simptom keracunan biasanya hanya muncul selepas beberapa jam dan boleh termasuk loya, muntah, sakit perut, pernafasan laju, dan sesak nafas.
Menurut Doktor Tanpa Sempadan (Médecins Sans Frontières), ribuan kes keracunan metanol berlaku setiap tahun, terutamanya di Asia, dengan kadar kematian antara 20 hingga 40 peratus sekiranya tidak dirawat segera.
































