Bernard dan Anne melawat pameran baju di Chanteek Borneo.
KOTA KINABALU: Chanteek Borneo Sdn. Bhd. meraikan pencapaian gemilang Projek Perniagaan Inklusif (IB) Rekaan Motif Etnik Sabah yang melahirkan 40 “Mama JaRum” – suri rumah berkemahiran jahitan dari seluruh Sabah – sebagai rakan pengeluaran produk tekstil bercorak etnik.
Majlis penutup di Galeri Chanteek Borneo, Bandar Putra, disempurnakan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan dihadiri Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp.
Pengarah Urusan Chanteek Borneo, Anne Antah berkata, perjalanan syarikat bermula pada 2018 apabila menerima dana di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) – Inovasi Inklusif SME Corp., membolehkan Chanteek Borneo menjadi pelopor pencetakan dan pengeluaran kain bercorak Sabah di Malaysia.
“Model perniagaan inklusif ini selari dengan matlamat ESG – memanfaatkan komuniti, meningkatkan produktiviti dan melestarikan budaya tempatan. We rise by lifting others,” katanya.
Hasil Projek Mama JaRum, kadar kecacatan produk sifar selepas latihan intensif. Produktiviti meningkat sehingga 200%. Sehingga 31 Julai 2025, RM112,103.40 dibayar kepada peserta sebagai upah jahitan.
Walaupun projek rasmi tamat, kesemua Mama JaRum akan terus menjadi rakan pengeluaran Chanteek Borneo selama empat tahun lagi melalui program Level-Up Mama JaRum 2.5.
Sementara itu, dalam ucapan penutupannya, Bernard menegaskan bahawa Projek IB Rekaan Motif Etnik Sabah adalah contoh cemerlang keberkesanan Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI).
“Sejak dilancarkan pada 2022, dua Syarikat Prinsipal Perniagaan Inklusif dari Sabah telah dilantik, dengan 140 peserta dari negeri ini menerima manfaat – tertinggi di Malaysia. Ini bukti semangat gigih rakyat Sabah merebut peluang yang ada,” katanya.
Beliau menambah bahawa model ini bukan sahaja menggabungkan keuntungan perniagaan dengan manfaat sosial, malah memperkasa golongan wanita, B40, OKU dan komuniti luar bandar.
“SME Corp. juga memperkenalkan inisiatif seperti Program Kampung Angkat, dengan Kampung Putaton di Penampang sebagai projek rintis.
“Ini selain meneruskan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan bimbingan perniagaan untuk pembiayaan alternatif,” katanya.
Bernard menyeru para peserta untuk terus berhubung dengan pegawai SME Corp. bagi mendapatkan maklumat pembiayaan terkini.
“Tahniah kepada Chanteek Borneo dan semua Mama JaRum atas kejayaan melaksanakan projek ini. Anda membuktikan bahawa produk buatan Sabah mampu menembusi pasaran dunia,” ujarnya.


































