Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
PETALING JAYA: Pembelian pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) adalah keputusan korporat Malaysia Aviation Group (MAG) yang dibiayai oleh dana syarikat sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan kononnya pembelian tersebut menggunakan wang rakyat.
“Pembelian pesawat ini sebenarnya adalah keputusan perniagaan strategik oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukan duit cukai rakyat,” katanya dalam satu hantaran di platform X.
Malaysia sebelum ini bersetuju untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) bernilai $AS9.5 bilion sebagai komitmen memperkukuh hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara.
Langkah tersebut susulan rundingan yang membawa kepada pengurangan tarif AS ke atas Malaysia sebanyak 19 peratus berbanding 25 peratus.
Pesanan itu termasuk 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM LEAP-1B dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat 737.
Tengku Zafrul berkata rancangan pembelian tersebut juga telah diumumkan seawal Mac 2025 lagi, sebelum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif lagi.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila AS mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.
“Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke US berbanding membeli barang dari US, jadi US cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25 peratus.
“Kita ambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing ini. Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” katanya.
































