Adzli Abu Shah (tengah) menunjukkan sebahagian daripada ketulan mampat ganja seberat 93.77kg yang dirampas daripada satu sindiket pengedaran dadah pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu, Jitra di Kubang Pasu.
KUBANG PASU: Polis menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang disyaki menyeludup dua kilogram (kg) ganja dari Thailand menggunakan kereta ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, adik perempuannya berusia 24 tahun bersama suami berusia 25 tahun yang mendakwa tidak mengetahui kewujudan dadah itu turut ditahan polis.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dadah bernilai RM6,200 itu ditemukan di bahagian atas tayar ganti dalam but kereta jenis Honda City dinaiki mereka.
“Dalam pengakuan awal, suspek wanita dikatakan berulang-alik ke negara jiran untuk menghisap ganja sejak 2022, namun pada hari kejadian penjual (ganja) menasihatkannya supaya membeli dalam kuantiti banyak untuk dibawa pulang.
“Adik dan suaminya mendakwa tidak tahu tentang dadah itu, namun kita masih melakukan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini kelmarin.
Katanya, wanita berasal dari Pokok Sena itu didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), manakala adik iparnya positif dadah jenis benzo dan isterinya negatif dadah.
Sementara itu dalam kes berasingan, Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah disyaki berpangkalan di Danok, Thailand yang turut didalangi remaja berusia belasan tahun dan dipercayai aktif sejak Mac lalu.
Kejayaan itu susulan penahanan empat suspek lelaki berusia 18 hingga 24 tahun dalam tiga serbuan berasingan bermula Rabu lalu hingga Sabtu hasil kerjasama dengan polis Perlis dan Thailand.
“Kita berjaya merampas kira-kira 93.77kg ganja dianggarkan bernilai RM290,600 yang boleh digunakan oleh 187,540 penagih sekiranya terlepas.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk ganja dari Thailand sedikit demi sedikit menggunakan motosikal sewa dari negara jiran itu.
“Dua suspek berusia 24 dan 28 tahun disyaki dalang utama sindiket yang bertindak sebagai perunding dan pembiaya. Remaja berusia 18 dan 19 tahun pula berperanan sebagai penjaga dan ‘transporter’ ganja.
“Suspek disyaki mampu menyeludup 20kg ganja setiap trip dengan upah kira-kira RM400, manakala upah menjaga dadah di lokasi tertentu termasuk di kawasan Laka Temin pula serendah RM100,” ujarnya.
Menurut Adzli, kesemua suspek kecuali remaja 18 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
































