PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki warganegara China keluar dari negara ini ke Thailand mengundang padah apabila dia ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, penahanan lelaki berusia 39 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas disyaki tinggal lebih masa semasa cuba keluar dari Malaysia ke Thailand.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, lelaki itu ditahan semasa pemeriksaan dokumen rutin.
“Pemeriksaan imigresen terhadap pasport suspek menunjukkan kemasukan terakhirnya ke Malaysia direkodkan pada 30 Mei lalu di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.
“Endosmen Pas Lawatan Sosialnya didapati telah tamat tempoh dan tiada endosmen keluar dari Thailand dan menandakan dia kekal berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan selama 34 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Kata kenyataan itu, suspek telah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
AKPS menasihatkan orang ramai, terutamanya warga asing yang berada di Malaysia untuk sentiasa peka dengan tarikh luput pas mereka.
“Tindakan sewajarnya perlu diambil untuk melanjutkan pas atau meninggalkan negara sebelum tempoh tersebut berakhir bagi mengelakkan sebarang tindakan undang undang.
“Penangkapan ini menyerlahkan usaha berterusan AKPS untuk memastikan peraturan Imigresen dan keselamatan sempadan terus dipelihara,” jelas kenyataan itu.
































