PENAMPANG: Kerajaan MADANI akan memperkenalkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan sebagai antara strategi utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menangani kos sara hidup secara menyeluruh.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sistem bersepadu itu bakal memperkukuh ketelusan pasaran, mencegah manipulasi harga dan menyokong pemantauan di sepanjang rantaian bekalan makanan negara.
“Isu kos sara hidup tidak boleh diselesaikan hanya dengan pemantauan harga. Kita mesti pastikan pasaran telus, kompetitif dan bebas manipulasi. Sistem ini akan jadi instrumen penting ke arah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sistem tersebut akan mengumpul dan memaparkan data harga, bekalan dan pengedaran barangan keperluan asas. Ia turut menyokong penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010.
Dengan maklumat yang boleh diakses oleh pengguna, peniaga dan pembuat dasar, sistem ini diharap dapat memperkasa kuasa pengguna dan mengekang pencatutan.
Selain itu, RMK-13 juga memberi penekanan kepada pemerkasaan rantaian bekalan makanan menerusi pembangunan infrastruktur logistik, pemasaran dan digital, termasuk menyokong peruncit kecil dan sederhana dalam ekosistem agromakanan negara.
“Kita mahu bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan rakyat mampu menyara hidup dengan pendapatan munasabah serta akses kepada barangan asas mencukupi,” tegas Armizan.
Inisiatif ini, katanya, mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani punca sebenar kos sara hidup dengan pendekatan yang menyeluruh dan mampan.
































