PETALING JAYA: Lapan individu yang ditahan bagi membantu siasatan kematian suspek kes cubaan ragut di Batu 9, Cheras dekat sini dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya.
Katanya, kesemua individu berusia antara 22 hingga 72 tahun itu dibebaskan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis Jabatan Kimia bagi mengesahkan punca kematian suspek.
“Kesemua tangkapan masih di bawah tahanan reman sehingga esok, namun siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya pada 31 Julai lalu yang mengarahkan supaya semua tangkapan dibebaskan sementara dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, kejadian berlaku pada 22 Julai lalu yang mana polis menerima maklumat awam melalui panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.10 pagi berhubung insiden cubaan ragut terhadap seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai guru tadika.
Katanya, suspek lelaki itu berjaya ditahan orang awam sebelum dipukul sehingga meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Bedah siasat telah dijalankan pada hari sama dan punca kematian masih menunggu hasil laporan oleh pakar patologi,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau balai polis berdekatan.
































