Zara Qairina Mahathir
PETALING JAYA: Siasatan polis berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah agama di Papar kini berada di peringkat akhir dan telah dirujuk ke Bukit Aman untuk penelitian lanjut sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, seramai 60 individu termasuk pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah telah diambil keterangan, termasuk tiga nama yang tular di media sosial.
“Tiga nama yang didakwa itu memang ada, dan mereka adalah pelajar. Semua telah direkod kenyataan bagi membantu siasatan,” katanya selepas Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Beliau ditemui dalam keadaan parah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai, di bawah bangunan asrama sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.
Kematian mangsa mencetuskan pelbagai dakwaan, termasuk kemungkinan dibuli.
Beliau turut mengesahkan kemungkinan wujud unsur buli dalam insiden tersebut berdasarkan siasatan semasa, yang kini menumpukan kepada dua aspek utama iaitu punca kematian dan persekitaran sekolah.
Mengulas tuduhan bahawa insiden melibatkan anak individu kenamaan termasuk dirinya, Jauteh menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan dakwaan itu tidak sihat.
“Saya tidak pernah ada anak yang belajar di sekolah berkenaan. Tuduhan ini hanya menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif,” katanya.
Beliau turut menjawab persoalan awam mengenai tempoh siasatan yang panjang, dengan menjelaskan bahawa ketelusan dan sensitiviti terhadap emosi pelajar menjadi keutamaan pihaknya.
“Ramai saksi adalah pelajar yang sedang melalui tekanan. Kita berhati-hati agar proses soal siasat tidak menambah trauma kepada mereka. Oleh itu, pakar kaunseling turut membantu siasatan,” katanya.
































