Bumi yang berpusing lebih laju menyebabkan ahli astronomi mengesan beberapa hari lebih pendek daripada tempoh standard 24 jam.
Bumi dilaporkan sedang berputar lebih laju daripada biasa sepanjang musim panas ini, menjadikan hari-hari sedikit lebih pendek dan fenomena ini semakin menarik perhatian para saintis dan penjaga masa global.
Menurut Utusan Malaysia, data daripada Perkhidmatan Putaran Bumi dan Sistem Rujukan Antarabangsa (IERS) serta Balai Cerap Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), hari paling pendek setakat ini adalah 10 Julai lalu, dengan tempoh 1.36 milisaat lebih singkat daripada 24 jam.
Hari-hari yang lebih pendek juga berlaku pada 22 Julai dan 5 Ogos ini, masing-masing dengan pengurangan 1.34 dan 1.25 milisaat.
Secara purata, satu hari di bumi mengambil masa 86,400 saat iaitu tempoh lengkap bagi satu putaran pada paksinya.
Namun setiap putaran adalah tidak tetap kerana dipengaruhi pelbagai faktor seperti tarikan graviti bulan, perubahan musim dalam atmosfera, serta pergerakan teras cecair bumi.
Walaupun perbezaannya hanyalah beberapa milisaat, ia tetap memberi kesan jangka panjang terhadap sistem teknologi seperti komputer, satelit dan telekomunikasi.
Disebabkan itu, setiap perbezaan kecil dalam masa dipantau secara teliti menggunakan jam atom, kaedah pengekalan masa paling tepat sejak ia diperkenalkan pada tahun 1955.
Jam ini menggunakan ayunan atom di ruang vakum untuk mengira masa 24 jam dengan ketepatan ekstrem dikenali sebagai Waktu Sejagat Diselaras (UTC) dan menjadi piawaian waktu global yang digunakan dalam semua telefon, komputer, serta sistem navigasi dunia.
Pada 5 Julai 2024, bumi mencatatkan hari paling pendek dalam sejarah sejak jam atom diperkenalkan iaitu 1.66 milisaat lebih pendek daripada 24 jam.
“Kita sudah berada dalam trend hari-hari yang sedikit lebih pendek sejak tahun 1972. Tetapi masih ada turun naik. Ia seperti memerhati pasaran saham, ada aliran jangka panjang, kemuncak serta kejatuhan,” kata Profesor Emeritus Geofizik Institusi Oseanografi Scripps, Duncan Agnew.
Pad 1972, IERS mula memperkenalkan konsep leap second atau satu saat tambahan yang dimasukkan ke dalam UTC bagi menyelaras perbezaan antara masa jam atom dan putaran sebenar bumi, sama seperti tahun lompat yang menambah sehari setiap empat tahun.
Sejak itu, sebanyak 27 leap second ditambah, namun tiada satu pun ditambah sejak 2016 kerana bumi kini sedang berpusing lebih laju, mengurangkan keperluan untuk menambah masa.
Namun, jika trend ini berterusan, saintis menjangkakan dunia mungkin berdepan senario baharu dipanggil negative leap second iaitu satu saat perlu dibuang dari masa UTC, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Kadar kemungkinan berlakunya negative leap second sebelum tahun 2035 kini mencecah 40 peratus,” kata Agnew.
Menurut Agnew, punca perubahan jangka pendek pada kelajuan putaran bumi datang daripada bulan dan kesan pasang surut air laut, di mana kedudukan bulan boleh memperlahankan atau mempercepatkan putaran bergantung kepada altitudnya.
Selain itu, musim panas secara semula jadi menyebabkan atmosfera bumi memperlahankan pergerakannya, lalu menyumbang tenaga putaran tambahan kepada planet ini menurut hukum fizik, di mana momentum sudut keseluruhan antara atmosfera dan bumi perlu kekal sama.
Teras cecair juga dilaporkan semakin perlahan sejak 50 tahun lalu, menyebabkan kawasan kerak bumi yang padat di sekelilingnya berpusing lebih laju.
Kajian lain oleh Benedikt Soja dari Institut Teknologi Persekutuan Switzerland menunjukkan pencairan ais ini turut mengubah paksi putaran bumi.
Sekiranya pemanasan global berterusan, kesannya mungkin mengatasi pengaruh bulan yang selama ini menjadi pemacu utama kepada putaran bumi sejak berbilion tahun lalu.
Jelas Ahli Fizik dan Pakar Masa Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan AS (NIST), Judah Levine, walaupun sistem leap second sudah digunakan selama 50 tahun, masih terdapat banyak masalah apabila ia dilaksanakan.
Katanya, kebimbangan meningkat apabila membayangkan implikasi negative leap second yang belum pernah diuji.
“Ia boleh mencetuskan masalah besar kepada sistem global yang sangat bergantung kepada masa yang tepat termasuk komunikasi, sistem kewangan, grid elektrik dan sistem GPS.
“Ada sistem yang menambah saat tersebut pada masa yang salah, atau dengan cara yang salah.
“Kita juga boleh menyamakan potensi gangguan ini dengan isu Y2K, iaitu masalah tarikh komputer yang pernah menakutkan dunia menjelang tahun 2000,” katanya.
































