TAIPEI: Seorang jurulatih bola sepak wanita di Taiwan berdepan siasatan selepas didakwa memaksa pelajarnya menderma darah secara berlebihan sebagai syarat untuk memperoleh kredit akademik.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu terbongkar apabila seorang pelajar Universiti Normal Taiwan Kebangsaan (NTNU), dikenali sebagai Jian, tampil mendedahkan pengalaman peritnya di media sosial.
Menurut Jian, jurulatih berkenaan, Zhou Tai-ying, 61, yang juga tokoh terkenal dalam arena bola sepak Taiwan, memaksa pelajarnya menderma darah berkali-kali sebagai syarat mendapatkan 32 kredit akademik wajib bagi menamatkan pengajian.
Pelajar yang enggan mematuhi arahan itu berdepan risiko tidak dapat bergraduasi atau lebih buruk lagi, dibuang universiti.
Insiden mengejutkan itu mencetuskan kemarahan masyarakat dan mencabar integriti sistem pendidikan negara itu.
Jian mendedahkan sepanjang tempoh pengajian, dia menjalani lebih 200 derma darah demi memenuhi syarat tersebut.
“Ada masanya saya terpaksa menjalani pengambilan darah secara berterusan selama 14 hari, malah sampai tiga kali sehari, dari pukul 5 pagi hingga 9 malam,” katanya dalam satu hantaran yang turut disertakan video dirinya menangis semasa prosedur tersebut dijalankan.
Lebih mengejutkan, pengambilan darah itu didakwa dijalankan oleh individu yang tidak mempunyai kelayakan perubatan dengan alasan kononnya untuk kajian penyelidikan kampus.
Selain itu, subsidi penyelidikan yang sepatutnya diberikan kepada peserta didakwa dikutip oleh Zhou sebagai ‘dana pasukan’.
Pendedahan Jian membuka jalan kepada mangsa lain untuk tampil menceritakan pengalaman masing-masing.
Seorang pelajar yang enggan dikenali memberitahu, dia terpaksa mengambil cuti belajar kerana tidak tahan dengan buli berterusan oleh jurulatih tersebut, namun pelajar itu berkata ayahnya meninggal dunia secara mengejut sebelum dia sempat menceritakan perkara sebenar.
Pada 13 Julai lalu, NTNU mengeluarkan kenyataan memaklumkan Zhou dipecat daripada semua jawatan pentadbiran dan kejurulatihan serta dilarang memimpin pasukan sukan di universiti itu.
Pihak berkuasa pendidikan tempatan mengenakan tindakan pentadbiran terhadap NTNU dan mengarahkan universiti itu mengambil langkah sewajarnya.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat Taiwan yang menggelar Zhou sebagai ‘jurulatih vampire’ dan sehingga kini, motif sebenar di sebalik pengambilan darah berlebihan itu masih menjadi tanda tanya dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut.
































