ISTANBUL: Satu kajian terbaharu mendapati vaksin Covid-19 keluaran Pfizer berkemungkinan meningkatkan risiko kerosakan pada mata, yang boleh membawa kepada hilang penglihatan.
Menurut Utusan Malaysia, kajian itu dijalankan oleh sekumpulan saintis di Turkiye yang meneliti kesan vaksin terhadap kornea, bahagian depan mata yang membolehkan cahaya masuk.
Dalam kalangan 64 individu, saintis mengukur perubahan pada lapisan dalam kornea dikenali sebagai endotelium, sebelum mereka menerima dos pertama vaksin Pfizer dan dua bulan selepas dos kedua.
Hasil kajian menunjukkan selepas menerima kedua-dua dos vaksin, berlaku penebalan pada kornea, pengurangan bilangan sel endotelium dalam mata serta peningkatan variasi dalam saiz sel khusus yang membentuk lapisan endotelium.
Penyelidik mendapati vaksin Pfizer mungkin memberi kesan sementara kepada lapisan endotelium kornea dalam jangka masa pendek, walaupun tiada gangguan penglihatan serius dilaporkan semasa tempoh kajian.
Bagi individu yang mempunyai mata sihat, perubahan kecil itu berkemungkinan tidak memberi kesan kepada penglihatan secara serta-merta.
Bagaimanapun, jika perubahan itu didapati berpanjangan selama beberapa tahun, ia boleh menyebabkan kornea bengkak atau penglihatan kabur, terutama bagi individu yang mempunyai masalah mata sedia ada atau pernah menjalani pemindahan kornea.
Kornea lebih tebal dan ketumpatan sel yang berkurangan boleh menyumbang kepada beberapa masalah mata seperti edema kornea serta keratopati bulosa.
Ia berisiko menyebabkan kehilangan penglihatan kekal dalam kes yang teruk, terutama jika tidak dirawat.
“Endotelium perlu dipantau dengan teliti bagi individu yang mempunyai bilangan sel endotelium rendah atau yang pernah menjalani pemindahan kornea,” kata penyelidik dalam kajian diterbitkan dalam jurnal Ophthalmic Epidemiology.
Secara khusus, pasukan penyelidik mendapati vaksin Pfizer-BioNTech menyebabkan ketebalan kornea pesakit meningkat daripada 528 mikrometer kepada 542 mikrometer, iaitu peningkatan kira-kira dua peratus.
Pasukan penyelidik tidak mencadangkan agar vaksinasi dihentikan, tetapi menegaskan ujian jangka panjang masih diperlukan untuk menentukan sama ada perubahan itu berterusan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun selepas suntikan.
































