Ngwe Hee Sem
MELAKA: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas ketika mandi-manda di kolam sebuah inap desa di Taman Kota Syahbandar di sini semalam, masih hidup dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem menafikan dakwaan mangsa sudah meninggal dunia awal pagi tadi.
“Setakat pukul 12.12 tengah hari ini, saya mengesahkan kanak-kanak itu masih hidup tetapi dalam keadaan kritikal. Mangsa kini masih menerima rawatan di PICU,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hari ini beberapa media melaporkan, kanak-kanak malang itu meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa.
Berita itu dikatakan dikongsikan sendiri oleh bapa mangsa menerusi video yang dimuat naik di platform TikTok miliknya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kegembiraan sebuah keluarga yang bercuti di sebuah kondominium bertukar cemas apabila seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam kolam renang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam sebelum disedari oleh orang awam yang berada di lokasi.
































