Hajiji bergambar bersama para penerima biasiswa dan pelajar di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kini turut ditawarkan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat asasi, matrikulasi dan A-level mulai tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Selain itu, kadar elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga akan diselaraskan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BKNS untuk menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini bagi memastikan lebih ramai pelajar cemerlang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, Hajiji berkata, tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah tertinggi bagi pemberian biasiswa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Daripada hanya RM50 juta pada tahun 2020, peruntukan BKNS terus meningkat saban tahun sepanjang lima tahun lalu, mencecah RM136 juta pada tahun 2025.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah melabur secara signifikan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan di negeri ini yang telah memberi manfaat kepada seramai 13,550 pelajar dari tahun 2021 hingga 2024.
Sementara itu, katanya, komitmen Kumpulan Yayasan Sabah turut terbukti dengan peruntukan sebanyak RM67.17 juta bagi sektor pendidikan tahun lalu, yang memanfaatkan 3,234 pelajar.
Ia merupakan peningkatan ketara sebanyak 148.96 peratus berbanding hanya RM26.98 juta pada tahun 2020, katanya sambil menambah bahawa seramai 10,104 penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkannya pada Jun 2022, melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM15.8 juta.
Beliau berkata, menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), lebih 48,000 pelajar di seluruh Sabah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta.
Hajiji berkata, inisiatif-inisiatif ini akan membantu meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Sabah serta menyokong pembangunan modal insan berkualiti.
Beliau turut menegaskan bahawa selaras dengan usaha memperkukuh dan mempelbagaikan inisiatif bantuan pendidikan di negeri ini, pelbagai bentuk bantuan telah dilaksanakan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
Tahun ini sahaja, katanya, sejumlah RM77.5 juta telah diperuntukkan untuk membiayai 14 inisiatif bantuan pendidikan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Inisiatif Bantuan Komputer (BAIK), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), dan SENTOSA – bantuan untuk pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan.
Inisiatif-inisiatif pendidikan ini juga turut disokong oleh agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah, katanya.
Hajiji berkata, pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang dilaksanakan melalui pelbagai jabatan dan agensi mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak Sabah.
“Kita akan terus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya tanpa mengira latar belakang. Kepada para belia, belajarlah bersungguh-sungguh dan kejarlah kecemerlangan.
“Terokai bidang profesional seperti minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kecerdasan Buatan (AI) bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi dan berkualiti dari Sabah dalam pelbagai sektor,” katanya.
Hajiji berharap anugerah ini menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus cemerlang dan dalam masa yang sama mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua penerima supaya tidak menjadikan anugerah ini sebagai alasan untuk leka. Sebaliknya, jadikan ia sebagai aspirasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan demi menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan visi Madani negara.
“Pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang ini memikul tanggungjawab dan amanah yang besar untuk masa hadapan. Ini termasuk menjadi contoh teladan yang baik kepada rakan sebaya, tidak mudah terpengaruh dengan sentimen, retorik melampau atau perkara yang boleh merosakkan negeri dan negara kita,” katanya.
































