WASHINGTON: Pihak berkuasa Medicaid didakwa membuat perjanjian dengan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan ejen imigresen mengakses pangkalan data peribadi rakyat termasuk alamat rumah, nombor keselamatan sosial dan etnik individu.
Menurut Utusan Malaysia, perjanjian perkongsian data itu, menurut dokumen yang diperoleh oleh Associated Press (AP) membolehkan ICE mengesan lokasi pendatang asing.
Medicaid merupakan penyedia insurans kesihatan terbesar di negara itu meliputi 79 juta rakyat berpendapatan rendah, orang kurang upaya dan warga emas.
Ahli Kongres Demokratik dari Washington, Pramila Jayapal mengecam tindakan tersebut menyifatkannya sebagai penyalahgunaan data secara terang-terangan.
“Presiden Donald Trump berkata beliau hanya akan menyasarkan pendatang ‘paling teruk’, tetapi kini memberi ICE akses kepada data Medicaid semua orang termasuk menyasarkan rakyat AS sendiri.
“Adakah beliau (Trump) tahu yang pendatang tanpa dokumen langsung tidak layak untuk mendaftar Medicaid?,” katanya menerusi satu kenyataan
Laporan AP pada Jun mendedahkan kewujudan perjanjian antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan Pusat Medicare dan Medicaid (CMS), yang didakwa diluluskan oleh pentadbiran.
Trump meskipun menerima amaran daripada pegawai awam kanan bahawa perkongsian data sedemikian melanggar beberapa undang-undang persekutuan.
Dalam satu nota dalaman yang dilihat AP, Timbalan Pengarah Medicaid, Sara Vitolo menulis, beberapa undang-undang dan peraturan persekutuan tidak membenarkan CMS berkongsi maklumat ini dengan mana-mana entiti di luar CMS.
Menurut dokumen terbaru, data CMS akan digunakan oleh ICE untuk mengenal pasti identiti dan lokasi individu yang dikenalpasti sebagai pendatang asing oleh agensi itu.
Pegawai pentadbiran Trump mempertahankan perjanjian ini dengan alasan ia bertujuan mencegah pembaziran, penipuan dan penyalahgunaan dana Medicaid.
Namun, para pengkritik menyuarakan kebimbangan serius bahawa langkah ini bakal menjejaskan privasi berjuta-juta rakyat dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguatkuasaan.
































