SEREMBAN: Rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan tarif akan melihat kepada skop lebih meluas termasuk aspek kedaulatan negara dan kepentingan bersama kedua-dua buah negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan berkenaan masih lagi belum tamat dan Malaysia sedaya upaya untuk memberikan fakta-fakta dengan mengetengahkan kepentingan hubungan dua hala.
“Rundingan akan melihat skop yang lebih meluas, bukan sahaja perdagangan tetapi kedaulatan negara dan juga yang lain-lain.
“Kita mahu supaya kepentingan bersama dan sihat ini dapat kita pelihara dengan baik. Kita tidak mahu nanti disebabkan oleh rundingan dua hala berkenaan tarif ini, ia akan merosakkan hubungan dua hala.
“Malaysia merupakan rakan strategik kepada AS dan juga rakan strategik kepada semua negara di seluruh dunia. Kita mengamalkan dasar berkecuali dan kita di Asia Tenggara ataupun di ASEAN ini mempunyai dasar keterangkuman bersama.
“Sebarang usaha untuk memecahbelahkan kami itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Penerima Sumbangan Bantuan Am, Pelajaran, Masjid, Surau dan NGO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, kelmarin.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengumumkan negara itu mengenakan tarif sebanyak 25 peratus kepada mana-mana dan semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu bermula 1 Ogos ini.
Kadar itu berkenaan juga lebih tinggi daripada tarif 24 peratus yang pada awalnya dikenakan ke atas barangan eksport tertentu dari Malaysia ke AS.
Ketika ditanya mengenai negara jiran, Indonesia yang dikenakan tarif 19 peratus oleh AS berbanding 32 peratus yang dinyatakan sebelum ini, Mohamad berkata, sebarang rundingan sepatutnya tidak sampai kepada tahap akan membeza-bezakan antara negara.
“Kita tidak mahu melihatnya sebagai suatu masalah kepada hubungan dua hala. Itu sebab saya kata tadi rundingan tadi melihat skop yang lebih meluas, bukan sahaja perdagangan tetapi kedaulatan negara,” katanya.

































