Kereta yang dipandu Ija Nizaruddin dibawa naik oleh pasukan bomba dari sungai di Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar.
MUAR: Kehilangan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin kekal misteri apabila dia gagal dikesan selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Kampung Tui, Bukit Kepong.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Bomba Zon 4, Pegawai Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari berkata, selepas kereta itu dibawa naik cermin kereta di sebelah pemandu kereta Perodua Axia tersebut telah didapati terbuka.
Katanya, kereta itu dibawa naik kira-kira pukul 3 petang semalam dan pencarian mangsa diteruskan sehingga lewat malam tadi.
“Pagi ini pihak polis, bomba serta agensi yang terlibat meneruskan pencarian keberadaan mangsa. Semalam, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bomba telah melakukan selaman sehingga pukul 7.45 malam bagi mencari mangsa di dalam sungai.
“Pihak polis turut membawa anjing pengesan dari Unit K9 yang tiba pada pukul 11 malam bagi membantu pencarian di darat sehingga pukul 1 pagi tadi.
“Setakat semalam, kami tidak menjumpai barang peribadi mangsa termasuk telefon atau dompetnya di dalam kereta berkenaan kecuali topi milik anaknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Shuhada berkata, operasi diteruskan hari ini seawal pukul 8 pagi dan cuaca cerah membantu operasi pencarian dilakukan.
Semalam, media melaporkan kehilangan pempengaruh permotoran itu sejak Isnin lalu dan penemuan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih di dalam sungai disahkan dipandu mangsa dari Johor Bahru itu. Mangsa masih gagal dikesan sehingga kini.
































