VICTORVILLE: Seorang lelaki di California ditahan polis selepas mencetuskan panik awam apabila meletakkan anak patung yang seolah-olah diperbuat daripada kulit dan daging manusia di sebuah stesen minyak, pada Ahad lalu.
Hector Corona Villanueva, 23, dituduh menanam bukti palsu dan menyebabkan kecemasan awam selepas meninggalkan objek yang menyeramkan itu di stesen minyak AMPM di bandar Victorville, California.
Penemuan anak patung tersebut mencetuskan siasatan polis serta pemeriksaan koroner, sementara stesen minyak berkenaan terpaksa ditutup susulan kebimbangan masyarakat setempat.
Bagaimanapun, pejabat sheriff pada Isnin mengesahkan objek tersebut tidak mengandungi sebarang bahagian tubuh manusia dan mengklasifikasikan insiden itu sebagai ‘gurauan’.
Penemuan mengerikan di Victorville, terletak kira-kira 130 kilometer di timur laut Los Angeles, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan mengenai kewujudan pembunuh bersiri.
Objek tersebut ditemukan pada Ahad apabila seorang saksi menghubungi polis dan melaporkan menjumpai anak patung beruang yang kelihatan diperbuat daripada daging manusia ditinggalkan di hadapan premis stesen minyak di Bear Valley Road.
Dalam kenyataan semalam, Pejabat Sheriff Daerah San Bernardino tidak menyebut sebarang motif kejadian dan memaklumkan siasatan masih berjalan.
“Kejadian seperti ini membazirkan sumber kecemasan yang berharga dan membahayakan orang awam, serta boleh melambatkan masa tindak balas terhadap panggilan kecemasan yang sah.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyalurkan maklumat berguna sepanjang siasatan kes ini,” kata pihak berkuasa.


































