PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan seorang penuntut warga asing di Universiti UCSI di Cheras dekat sini yang dilaporkan gagal dikesan sejak minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan penuntut berusia 20 tahun itu daripada wakil pihak pengurusan UCSI pada 9.05 malam Isnin selepas gagal dikesan.
Mangsa dikenali sebagai Sithu Hpone Maw, berusia 20 tahun, mempunyai ketinggian kira-kira 5 kaki 9 inci dan kali terakhir dilihat pada 9 Julai lalu di rumah sewanya di Ankasa Condo, Taman Connaught, Cheras.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan keberadaan mangsa, dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Difahamkan, Hpone Maw berasal dari Myanmar adalah penuntut tahun dua dalam jurusan seni bina di universiti swasta terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kehilangan pelajar terbabit.

































