Anwar Ibrahim berbual bersama tetamu pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Akta Kebebasan Maklumat akan diperkenal bagi mengukuhkan ketelusan dan memberi akses sebenar kepada orang awam terhadap keputusan kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rang undang-undang (RUU) berkenaan akan dibentang di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“Ini merupakan langkah penting dalam membina keyakinan rakyat serta menggalakkan penyertaan bermaklumat dalam sistem demokrasi negara.
“Undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini supaya rakyat dapat memantau dan supaya kerajaan lebih bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga akan membentangkan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menyediakan perlindungan lebih luas kepada golongan pemberi maklumat.
Katanya, ini termasuk menghapuskan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan serta menubuhkan Jawatankuasa Bebas Perlindungan Pemberi Maklumat.
Sebelum ini, kerajaan pada 2023 bersetuju secara prinsip untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat bertujuan membina parameter dan garis panduan jelas bagi akses maklumat awam, serta meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 supaya kedua-dua akta saling melengkapi.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula diwujudkan bagi melindungi individu yang mendedahkan salah laku, penyelewengan atau rasuah dalam sektor awam dan swasta.
































