Anthony Loke Siew Fook
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penggunaan bas elektrik (EV) secara menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam menjelang tahun 2037, sejajar dengan pelan dekarbonisasi nasional dan komitmen negara terhadap teknologi hijau.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran itu menjadi antara tonggak utama dalam usaha menjadikan sektor pengangkutan lebih lestari dan mesra alam.
Katanya, penggunaan bas elektrik akan diperluas ke bandar-bandar utama dengan keutamaan kepada kawasan berpenduduk padat yang mencatat kadar penggunaan pengangkutan awam yang tinggi.
Menurut beliau, peralihan itu akan dilaksanakan secara berfasa bermula 2026.
“Walaupun kita melancarkan kumpulan akhir bas diesel hari ini, sasaran kita sudah ditetapkan bahawa semua pengangkutan awam akan beralih kepada teknologi elektrik menjelang 2037,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Bas Diesel Baharu Rapid KL dan Rapid Penang di Batu Caves dekat sini hari ini.
Dalam usaha menyokong industri tempatan, Anthony Loke berkata, kerajaan menetapkan syarat bahawa bas-bas baharu yang diperoleh perlu dipasang dalam negara.
“Tender telah dipanggil dan penganugerahan akan dibuat tidak lama lagi. Ini juga satu usaha untuk menghidupkan semula industri pemasangan bas tempatan dan memberi peluang kepada syarikat tempatan menyertai pemindahan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua bas yang telah melepasi had usia 15 tahun akan ditamatkan operasi sepenuhnya, selaras dengan ketetapan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bas yang telah beroperasi lebih 15 tahun akan dinyahaktif dan tidak akan dikitar semula untuk sebarang kegunaan pengangkutan awam.
“Ini penting demi menjamin keselamatan penumpang dan kelestarian sistem,” katanya.
































