Dr. Joachim yang mewakili Ketua Menteri, bergambar bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, tetamu jemputan lain, penceramah dan para peserta.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak terus terperangkap dalam kitaran pengangguran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan satu anjakan paradigma penting dalam landskap pembangunan TVET di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa TVET tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai pilihan sampingan.
“Sebaliknya, TVET mesti diberi tempat sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membina masa depan Sabah. TVET bukan sekadar memberi kemahiran teknikal, tetapi ia memperkasakan individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya semasa merasmikan Simposium TVET Sabah di The Magellan Sutera Resort di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah asas kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi seperti sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta pembuatan.
“Namun, bagi mengekalkan pertumbuhan sektor-sektor ini, kita memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri yang pesat membangun di negeri ini,” katanya.
Dalam konteks ini, Ketua Menteri menekankan peranan penting ibu bapa dan masyarakat.
“Kerajaan Negeri menggesa belia untuk mempertimbangkan TVET sebagai pilihan utama, bukan sekadar pilihan kedua, dalam merancang masa depan mereka. TVET harus dilihat sebagai pilihan bijak yang boleh melahirkan profesional, usahawan dan inovator masa depan.
“Belia Sabah perlu merebut peluang mengikuti TVET kerana kursus yang ditawarkan kini disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja semasa, sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan,” katanya.
Tambah beliau, dalam era Revolusi Industri 4.0 dan gelombang pendigitalan, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan aset yang amat bernilai.
“Jika belia Sabah tidak dilengkapi kemahiran ini, kita akan ketinggalan dalam arus perubahan ini. Justeru, TVET adalah platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah,” katanya.
Ketua Menteri turut menyatakan komitmen Kerajaan dalam pembangunan modal insan jelas melalui pelbagai inisiatif dan pelaburan yang telah dilaksanakan.
“Usaha ini kini mula menunjukkan hasil. Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah menurun daripada sekitar 8.2 peratus pada 2021 kepada 7.5 peratus pada 2023.
“Walaupun angka ini masih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan, trend penurunan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan modal insan Kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, Sabah berdepan cabaran apabila lebih separuh atau 58.6 peratus daripada golongan penganggur di Sabah merupakan belia berusia 15 hingga 24 tahun, manakala 55.8 peratus daripada jumlah penganggur hanya mempunyai kelulusan setakat sekolah menengah.
“Angka-angka ini menunjukkan bahawa ramai belia masih memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, simposium bertemakan ‘TVET Lestari untuk Modal Insan Masa Depan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri ini.
Hajiji berharap para peserta dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjalin rangkaian antara institusi pendidikan dan latihan industri sepanjang simposium dua hari tersebut.
































