WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini mencatatkan jumlah tertinggi kes campak dalam tempoh 33 tahun, dengan hampir 1,300 jangkitan disahkan di seluruh negara setakat Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, data terbaharu yang dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins menandakan tahap kritikal dalam penularan wabak penyakit berjangkit yang sebelum ini dianggap berjaya dihapuskan menerusi program vaksinasi kebangsaan.
Sepanjang tahun ini, kes campak dikesan di 38 buah negeri termasuk Wilayah Columbia dengan sekurang-kurangnya tiga kematian direkodkan, manakala 155 pesakit kini dirawat di hospital akibat komplikasi penyakit tersebut.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), sebanyak 92 peratus daripada kes yang dilaporkan melibatkan individu yang tidak menerima vaksin atau status vaksinasinya tidak diketahui.
Texas menjadi kawasan paling terjejas dengan lebih 700 kes dilaporkan, diikuti Kansas dan New Mexico yang turut mencatatkan puluhan kes.
CDC memaklumkan, penularan tertumpu di kawasan komuniti yang mencatatkan kadar vaksinasi rendah, termasuk komuniti Mennonite di Texas yang cenderung menolak rawatan perubatan moden.
Rekod tertinggi kes campak di AS sebelum ini dicatatkan pada tahun 1990 dengan hampir 28,000 kes dilaporkan.
Penyakit itu diisytiharkan sudah dihapuskan sekitar tahun 2000 namun kembali meningkat, sejak tahun 2014 dan 2019 dengan 1,274 kes disahkan pada 2019.
Pakar kesihatan awam memberi amaran AS berisiko kehilangan status ‘penghapusan campak’ sekiranya penularan terus berlaku melebihi tempoh 12 bulan tanpa henti.
Vaksin MMR merupakan langkah paling efektif dalam melindungi individu daripada virus campak yang berbahaya, yang boleh menyebabkan radang paru-paru, bengkak otak dan kematian.
































