Mansur (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Cyril (empat dari kanan), Ruskap (tiga dari kanan) serta rombongan RTM Sabah.
KOTA KINABALU: Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah mempelawa golongan belia di negeri ini khususnya yang berminat dengan industri seni muzik untuk hadir dalam program Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 pada 8.30 malam di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang pada 10 Julai ini.
Sehubungan itu, RTM Sabah menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah untuk menjemput ahli persatuan dan badan belia termasuk Majlis Belia Sabah (MBS).
Rombongan RTM Sabah diketuai Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Ts. Cyril Simon mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Tetap KBS Sabah, Datuk Mansur Asun di pejabatnya di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Bahagian Belia KBS Sabah Mary Paul, Pengurus SABAHVfm Ruskap Muaram, Penolong Pengurus SABAHVfm Wasni Parimbos dan Pengelola SABAHVfm (Inggeris) Farah Lee Asman.
Anugerah Lagu SABAHVfm bertujuan memartabatkan lagu-lagu etnik Sabah dan menggalakkan penghasilan karya seni baharu.
Program dwitahunan itu, yang pertama kali diadakan pada tahun 2023, merupakan program tonggak siaran radio RTM Sabah di bawah stesen radio SABAHVfm.
Ia menggabungkan lagu-lagu daripada empat etnik utama di Sabah iaitu Kadazan, Bajau, Murut dan Dusun.