Hajiji melepaskan induk kerang darah di jeti Borneo Beach and Mangrove Resort di Tuaran hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri telah melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang berpotensi menjana pendapatan sehingga RM34.4 juta setahun, berdasarkan anggaran pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan setahun dan pulangan pelaburan sebanyak 7.6 kali.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek ini akan membuka peluang eksport baharu bagi kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, penghasilan sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.
“Bagi pihak swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan makanan laut, pembungkusan lestari dan pembangunan rantaian bekalan eksport Sabah.
“Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya semasa merasmikan pelancaran projek itu di Borneo Beach and Mangrove Resort di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Ekonomi Biru menjadi asas ekonomi kukuh bagi rakyat Sabah.

Hajiji diberi taklimat mengenai teknologi penternakan kerang tepat oleh Ketua Unit Moluska Institut Penyelidikan Perikanan, Dr Hadzley Harith.
Katanya, Kerajaan Negeri komited melaksanakan langkah-langkah meneroka sumber marin dan maritim sebagai usaha memperkukuh kedudukan negeri dalam landskap Ekonomi Biru antarabangsa.
“Ekonomi Biru bukan sahaja berpotensi mengimbangi kemakmuran dan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai global Ekonomi Biru diunjurkan mencecah USD3 trilion,” katanya.
Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang akan dilaksanakan dalam dua fasa ini adalah hasil kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah.
Fasa pertama yang telah selesai melibatkan kajian pemetaan dan penerokaan sumber kerang darah Tegillarca granosa yang dijalankan dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi termasuk Tuaran dan Beluran, yang akan memulakan projek perintis.
Fasa kedua projek dijadualkan bermula pada tahun 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan lapangan sebenar.

Ketua Unit Moluska Institut Penyelidikan Perikanan Dr Hadzley Harith (kiri) memberi taklimat kepada Ketua Menteri sebelum pelepasan induk kerang di Borneo Beach and Mangrove Resort di Tuaran hari ini.
Hajiji berkata, sebanyak 77 lot akuakultur telah dikenal pasti, merangkumi 12 di Tuaran dan 65 di Beluran melibatkan kawasan seluas 1,617 hektar.
Setiap lot akan dikendalikan oleh 10 ketua isi rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan 770 KIR sebagai penerima manfaat utama terdiri daripada usahawan perikanan, komuniti luar bandar dan kumpulan B40.
“Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi pada kapasiti optimum, peserta mampu memperoleh pendapatan sekitar RM4,800 hingga RM6,500 sebulan,” katanya.
“Sudah tentu, komuniti yang terlibat akan menikmati pendapatan mampan menerusi penternakan kerang darah. Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan marin Sabah.
“Sesungguhnya, projek ini bukan sahaja membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat, malah kepada alam sekitar dan ekonomi negeri.
“Sabah akan dibangunkan sebagai Hab Makanan Laut Biru ASEAN yang setanding dengan negeri pengeluar utama seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri komited sepenuhnya menyokong industri ini dan mahu peserta projek diberikan latihan berterusan serta teknologi moden.
“Saya menyeru komuniti di Tuaran dan Beluran sebagai perintis atau peneraju projek ini agar memanfaatkan sepenuhnya teknologi moden yang diperoleh untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti sektor akuakultur,” katanya.