Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas daripada Lapangan Terbang Pavillon d’Honneur Orly selepas menamatkan lawatan kerja di Paris, Perancis. Ihsan: Pejabat Perdana Menteri.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menuju ke Rio De Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17.
Menurut Utusan Malaysia, lawatan ke Brazil itu menandakan berakhirnya urusan rasmi di Paris, Perancis dan Itali selepas mencapai matlamat memperkukuh hubungan dua hala.
“Alhamdulillah, sempurna sudah urusan rasmi di Paris, saya dan delegasi Malaysia kini menuju ke Rio De Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Ke-17.
“Kunjungan ke Perancis telah mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama strategik yang lebih meluas antara dua negara sahabat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi ke tiga pusat ekonomi dunia iaitu Itali, Perancis dan Brazil selama tujuh hari bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Ketiga-tiga negara terbabit merupakan rakan dagang penting Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$11.14 bilion (RM50.91 bilion) tahun lalu, sekali gus membuka potensi besar untuk pertumbuhan sektor teknologi dan inovasi.