Hajiji bergambar bersama jemputan dan ahli YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman.
TUARAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Mikro Kredit yang bertujuan memperkasa usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan wanita berpendapatan rendah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana mencukupi supaya ia dapat terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), YUM turut menerima peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta dalam bentuk geran untuk dana pusingan pinjaman, selain geran tahunan daripada Kerajaan Negeri bagi menampung sebahagian kos operasi program pinjaman tersebut.

Hajiji menyampaikan Anugerah Pusat Cemerlang kepada pasukan Pusat Perumahan Laya-Laya.
Berucap dalam Majlis Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini, Hajiji berharap para peminjam YUM dapat membayar balik pinjaman mereka tepat pada masanya, agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat program ini.
“Kejayaan peminjam memanfaatkan pinjaman YUM bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka, tetapi juga membolehkan agensi ini meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat melalui dana pusingan pinjaman yang mencukupi.
“Pada masa sama, ahli YUM perlu sentiasa meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka melalui penyertaan dalam bengkel, kursus, latihan termasuk yang dianjurkan oleh agensi lain, bersikap inovatif serta menggunakan teknologi terkini bagi mengembangkan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.
YUM merupakan sebuah badan amanah Kerajaan Negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan mikro kredit bertujuan membantu isi rumah miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan melalui modal pinjaman bagi menjalankan aktiviti penjanaan pendapatan.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi antara agensi paling penting dalam memperkasa ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurut beliau, YUM telah menyalurkan RM805.25 juta pinjaman melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 orang peminjam, dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman aktif.
Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat membanggakan, dengan kadar pembayaran balik kumulatif melebihi 96 peratus, menunjukkan bahawa semua peminjam – yang terdiri daripada wanita – adalah pembayar yang berdisiplin.
Sementara itu, hampir 20 peratus peminjam YUM yang dahulunya berada di bawah garis kemiskinan kini telah berjaya mencapai pendapatan bulanan melepasi paras tersebut.
“Ini adalah satu pencapaian membanggakan dan membuktikan bahawa program pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan dan membantu rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua kakitangan YUM atas kejayaan ini, serta kepada semua ahlinya yang telah memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan mikro kredit ini.
“Saya berharap Yayasan Usaha Maju akan mencatatkan kejayaan lebih besar tahun ini,” katanya.