Ketua Kumpulan Semesta Md Khairul Amri Awang (empat dari kanan) menerima hadiah daripada Shahelmey sejurus dinobatkan sebagai johan bagi kategori nasyid lelaki.
PUTATAN: Semangat hijrah perlu menjadi asas perubahan berteraskan nilai Islam dan prinsip Malaysia Madani.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, hijrah bukan sekadar memperingati perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, sebaliknya menuntut penghayatan terhadap pengorbanan, keberanian dan perubahan menyeluruh dalam transformasi ummah.
“Hijrah hari ini bukan lagi bersifat fizikal semata-mata tetapi bersifat spiritual, sosial dan pemikiran. Berhijrahlah daripada perbuatan, pemikiran atau keadaan yang tidak baik kepada yang baik demi kemajuan umat dan kesejahteraan daerah Putatan yang kita cintai ini,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Putatan 1447H/2025M di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Jumaat.
Program dua hari itu dimulakan semalam dengan penganjuran pelbagai acara kesenian Islam seperti pertandingan kompang, nasyid dan marhaban sebagai medium dakwah serta pengukuhan jati diri umat Islam.
“Sambutan ini mencerminkan iltizam masyarakat Putatan untuk terus memartabatkan syiar Islam. Syabas dan tahniah kepada pihak urus setia atas penganjuran program ini,” katanya.
Shahelmey turut mengajak umat Islam meneladani perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang sanggup mengorbankan harta, keluarga dan kampung halaman demi mempertahankan akidah serta menegakkan agama.
“Kita juga harus mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Timur Tengah yang sedang menghadapi penindasan dan peperangan. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” jelasnya.
Shahelmey berharap sambutan ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih positif bagi masyarakat Putatan dalam menempuh tahun baharu Hijrah dengan keberkatan dan kejayaan yang lebih besar.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pegawai Daerah Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program Masawi Salleh, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan Ahmad Helmy Mohd Taib, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Daerah Putatan Aisha Ohdin serta Penceramah Khas Muhammad Harris Mohd Ismail.
































