KOTA BELUD: Kesetiaan 13 ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) yang setia sejak penubuhan parti itu pada 1985 diraikan dalam satu majlis ringkas sempena perasmian Mesyuarat Agung Cawangan dan Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambulion di Pitimungan Tokou, Kampung Sorob.
Mereka yang dikenal pasti sebagai ahli paling setia melalui proses penelitian oleh Jawatankuasa PDM Tambulion menerima sijil penghargaan dan baju T khas yang disampaikan oleh Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti.
Antara yang menerima penghargaan ialah Michael Tinggiu, Cowboy Mialah, Suganting Mandur, Micheal Anchol, Jubilit Paun, Raisah Latip, Sapilin Tunda, Sebiting (Rejim) Sentim, Pihoi Dusin, Tanggulung Manggom, Mariah Sunduan, Madusa Gundadar dan Butihal Gasatan.
Timbalan Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Walter Kandayon berkata, penghargaan ini adalah simbol pengiktirafan terhadap nilai kesetiaan yang menjadi teras kekuatan parti.
“Kesetiaan mereka bukan sahaja istimewa kepada penerima malah merupakan aset paling berharga dan tidak ternilai untuk PBS. Mereka telah melalui pelbagai ujian, sanggup terumbang-ambing dibadai ombak perjuangan, bukan pemburu habuan tetapi pendokong sejati parti,” katanya.
Beliau menambah bahawa kesetiaan ahli merupakan elemen penting dalam survival politik sesebuah parti, manakala pengkhianatan boleh menggugat dan menghancurkan perjuangan yang telah dibina sekian lama.
Katanya, ahli setia PBS dianggarkan berpuluh ribu dan inilah antara sebab utama PBS masih teguh bertahan sejak 1985, termasuk dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Salah seorang penerima penghargaan, Michael Tinggiu berkata, beliau bersama rakan-rakan lain kekal dalam PBS sejak ia ditubuhkan kerana yakin dengan perjuangan parti berbilang kaum itu yang konsisten membela hak Sabah.
“Kami tidak pernah berundur walaupun kerajaan PBS jatuh pada 1994 akibat pengkhianatan beberapa wakil rakyat yang sanggup menggadai mandat rakyat,” katanya.
Majlis penghargaan ini turut dilihat mampu mencetus aura positif dalam kalangan ahli parti, khususnya untuk meningkatkan motivasi dan memberi inspirasi kepada generasi muda agar terus bersama PBS dalam perjuangan membela rakyat dan negeri Sabah.
Menurut penganjur, program seumpama ini diharap dapat diteruskan dan dikembangkan ke tahap lebih formal pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada agenda menghargai kesetiaan dan pengorbanan ahli parti.
































