Hajiji memalu gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik perasmian Pesta Kebudayaan Lotud.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita-cerita yang belum disahkan kesahihannya dan kini tersebar di media sosial.
Beliau berkata, menjelang musim pilihan raya, banyak maklumat tidak benar telah disebarkan menerusi pelbagai platform media sosial.
“Jangan buat pilihan yang salah. Kerajaan Negeri yang ada hari ini telah mencapai banyak kejayaan dalam membangunkan Sabah melalui perancangan strategik dalam bidang pendidikan, pelancongan dan kerjasama dengan Petronas untuk meningkatkan hasil negeri.
“Pilihan raya kali ini merupakan satu cabaran besar, namun ia juga peluang keemasan untuk rakyat memilih sebuah kerajaan yang bukan sahaja peka terhadap keperluan rakyat tetapi juga berpaksikan aspirasi tempatan,” katanya.
Berucap semasa majlis penutupan Pesta Kebudayaan BBKWDDP Lotud di Dewan Hone, IPGM Kent di sini hari ini, Ketua Menteri berkata, hanya di bawah pentadbiran GRS banyak bantuan telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada pelajar Sabah.
Tidak pernah sebelum ini, katanya, bantuan diberikan kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia serta bantuan pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan utama.
“Kita mahu meringankan beban pelajar kita,” katanya.
Hajiji berkata, pelaburan juga semakin banyak masuk ke Sabah sehingga Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang kini telah dipenuhi sepenuhnya.
Terbaharu, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura akan melabur sebanyak RM19.5 bilion dalam tiga fasa, katanya, sambil menambah bahawa fasa pertama sahaja memerlukan kira-kira 8,000 peluang pekerjaan.
“Inilah aspirasi kita untuk mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri turut memuji inisiatif penganjur Pesta Kebudayaan BBKWDDP Lotud yang membantu memelihara budaya dan tradisi masyarakat Lotud.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif seperti ini yang memperkukuh nilai budaya serta memperkasakan golongan belia melalui aktiviti warisan dan kebudayaan,” katanya.
Hajiji turut mengulangi harapannya agar masyarakat Dusun Lotud menjadi bangsa yang progresif dan setaraf dengan komuniti lain di negeri ini.
Pesta Kebudayaan BBKWDDP Lotud itu melibatkan tujuh kampung iaitu Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dugang 2 dan Pendamai.
































