BANGKOK: Thailand mengumumkan langkah baharu bagi memperketat peraturan penjualan ganja, dalam usaha mengawal penggunaannya yang semakin meluas, tiga tahun selepas ia dikeluarkan dari senarai jenayah.
Menurut Utusan Malaysia, Thailand mencipta sejarah pada Jun 2022 apabila menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik terlarang. Keputusan itu pada asalnya dibuat bagi membolehkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, bukan untuk rekreasi.
Namun, pelaksanaan dasar itu membuka ruang kepada pertumbuhan pesat industri ganja komersial. Ratusan premis penjualan ganja mula beroperasi di seluruh negara, terutamanya di Bangkok, menarik perhatian pelancong asing tetapi turut menimbulkan kebimbangan mengenai perdagangan ganja yang tidak terkawal.
Kebimbangan ini mendorong kerajaan bertindak lebih tegas.
Terbaharu, Menteri Kesihatan Awam Thailand, Somsak Thepsuthin, pada awal minggu ini menandatangani satu perintah rasmi melarang penjualan ganja untuk tujuan rekreasi.
Sejak penyahjenayahan pada 2022, kerajaan Thailand membenarkan rakyat menanam ganja di rumah untuk kegunaan perubatan.
Bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan itu, kecuali bunga dan perbungaan dikeluarkan daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5 di bawah Akta Narkotik 1979.
Berikutan pelonggaran ini, Kementerian Kehakiman Thailand turut menggugurkan 7,488 kes berkaitan ganja yang sedang dibicarakan atau dalam siasatan polis.
Bagaimanapun, penggunaan ekstrak ganja tetap tertakluk kepada had yang ketat. Kandungan tetrahydrocannabinol (THC) tidak boleh melebihi 0.2 peratus. Jika melebihi paras ini, ia dianggap melanggar undang-undang dan tertakluk kepada tindakan.
Langkah pengetatan ini dilihat sebagai usaha Thailand untuk menyeimbangkan manfaat perubatan ganja dengan keperluan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, sambil mengawal pertumbuhan industri yang semakin rancak.
































