MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat milik jutawan Elon Musk, SpaceX susulan serpihan roket dan pencemaran dari pelancaran roket syarikat itu yang didakwa menjejaskan kawasan berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico.
Menurut Utusan Malaysia, Sheinbaum berkata kerajaan Mexico sedang mengkaji undang-undang antarabangsa yang mungkin telah dilanggar bagi memfailkan tuntutan undang-undang yang perlu kerana memang wujud pencemaran.
Letupan terbaru berlaku minggu lalu apabila sebuah roket Starship milik SpaceX meletup semasa ujian darat rutin di ibu pejabat Starbase di selatan Texas, berdekatan sempadan Mexico.
Letupan tersebut menghasilkan bola api besar yang menjulang tinggi ke udara, satu lagi kegagalan dalam usaha Musk untuk menghantar manusia ke Marikh.
Sheinbaum berkata, pegawai kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh terhadap kesan alam sekitar akibat pelancaran roket itu ke atas negeri jiran, Tamaulipas.
Sebelum ini, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) meluluskan peningkatan jumlah pelancaran roket Starship daripada lima kepada 25 kali setahun pada awal Mei.
FAA mendakwa bahawa peningkatan tersebut tidak akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Namun keputusan itu menolak bantahan kumpulan pemuliharaan yang memberi amaran bahawa ia boleh mengancam spesies penyu laut dan burung pantai.
Jika diteruskan, saman ini bakal menjadi pertikaian undang-undang terbaru antara Mexico dan syarikat gergasi AS.
Pada Mei lalu, kerajaan Mexico turut memfailkan saman terhadap Google selepas nama Gulf of Mexico ditukar kepada Gulf of America dalam paparan Google Maps bagi pengguna di AS, tindakan yang dikaitkan dengan arahan eksekutif oleh Presiden Donald Trump.
Sheinbaum menegaskan bahawa Mexico tidak akan berdiam diri terhadap pencemaran yang berpunca dari luar sempadan khususnya jika ia melibatkan kesan langsung terhadap alam sekitar dan keselamatan penduduk tempatan.
































