Paracetamol antara ubat yang paling kerap digunakan di seluruh dunia dan biasanya dihasilkan daripada derivatif bahan api fosil.- Gambar Hiasan
EDINBURGH: Sekumpulan penyelidik dari Britain mendapati bakteria Escherichia coli (E. coli) boleh digunakan untuk menukar sisa plastik kepada ubat tahan sakit, paracetamol.
Menurut Utusan Malaysia, Paracetamol, antara ubat yang paling kerap digunakan di seluruh dunia, biasanya dihasilkan daripada derivatif bahan api fosil.
Prosesnya sering dijalankan oleh subkontraktor di Asia yang menggunakan kaedah murah dan mencemarkan, sekali gus menyumbang kepada perubahan iklim.
Menurut kajian dalam jurnal Nature Chemistry, pasukan penyelidik berjaya mengubah plastik daripada botol terpakai kepada bahan asas yang boleh ditukar menjadi paracetamol dengan bantuan E. coli, bakteria sering dikaitkan dengan keracunan makanan.
Penyelidikan itu menawarkan pendekatan inovatif dalam menangani dua isu besar dunia secara serentak, namun masih banyak cabaran teknikal dan praktikal perlu diatasi sebelum ia boleh dilaksanakan secara meluas.
Ketua penyelidik, Professor Stephen Wallace berkata, saintis menggunakan sejenis molekul yang diperoleh daripada plastik PET, bahan biasa daripada botol dan pelbagai produk plastik lain, untuk mencetuskan tindak balas kimia dalam strain E. coli.
“Tindak balas itu menghasilkan sebatian yang dinamakan sebagai PABA (para-aminobenzoic acid).
“Dengan mengubahsuai genetik bakteria tersebut, penyelidik kemudian berjaya menukar PABA kepada asetaminofen, iaitu nama lain bagi paracetamol,” katanya dalam kenyataan.
Kajian itu turut mendapat pembiayaan sebahagian daripada syarikat farmaseutikal AstraZeneca.
Bagaimanapun, beberapa pakar luar meragui keberkesanan teknologi itu dalam menangani pencemaran plastik, memandangkan skala pengeluaran dan keperluan pelaburan tinggi untuk digunakan secara komersial.
Kajian itu diterbitkan ketika masyarakat antarabangsa bersiap sedia untuk satu lagi pusingan rundingan penting pada Ogos, dalam usaha memeterai perjanjian global bagi mengurangkan sisa plastik.
































