Liew (duduk, tengah) mempamerkan dokumen bersama penandatangan lain. Dari kiri: Mackey, Dr. Maklarin, Josie dan Julinus. Berdiri dari kiri: Dikin, Peter, Joniston dan Mary.
KOTA KINABALU: Sebuah bangunan baharu Wisma Budaya setinggi 22 tingkat bakal menggantikan bangunan lama yang uzur di tapak sama di Jalan Tunku Abdul Rahman, di tengah-tengah bandar raya ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kewangan antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), di bilik mesyuarat kementerian berkenaan, hari ini.
Menandatangani dokumen tersebut ialah Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit; dan Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison, mewakili agensi masing-masing.

Ilustrasi artis bagi Wisma yang dicadangkan. Struktur tersebut akan merangkumi dewan atrium dua tingkat, lobi galeri menara pejabat, pusat seni persembahan, studio tarian dan dewan teater ‘Black Box’, selain kemudahan lain. Tempat letak kenderaan bertingkatnya mampu menampung 500 kereta.
“Ini merupakan satu pembangunan mercu tanda bagi sektor pelancongan dan kebudayaan Sabah. Bangunan lama Wisma Budaya akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada struktur moden yang dilengkapi kemudahan Teknologi Maklumat (IT) dan Audio Visual (AV), serta lain-lain.
“Jika semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Apabila siap kelak, KePKAS akan mempunyai bangunannya sendiri dan akan berpindah ke premis baharu ini bersama semua agensi di bawah kementerian,” kata Liew, sambil mencadangkan bangunan itu dinamakan sebagai Wisma Pelancongan & Kebudayaan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri beliau, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Peter Lintar; Pengerusi LKNS, Dikin Musah; dan Timbalan Setiausaha Tetap I KePKAS, Mary Malangking.


































