KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim adalah antara empat tokoh yang bakal dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), darjah kebesaran tertinggi Sabah, sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-74, dijadualkan berlangsung di Istana Seri Kinabalu esok.
Dua lagi ialah Datuk Ahmad Fuad Md. Ali dan Datuk Lim Yu Ming.
Penganugerahan SPDK membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”, satu pengiktirafan tertinggi Sabah kepada individu yang telah memberikan sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran, politik, ekonomi dan pembangunan masyarakat.
Pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat negeri ini merupakan acara tahunan yang berprestij, melambangkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan khidmat cemerlang individu kepada rakyat dan negeri Sabah.


































