Suspek memecahkan cermin rak pameran barangan kemas dalam cubaan merompak di sebuah kedai emas di Pekan Pandak Mayah, Langkawi.
LANGKAWI: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai cuba merompak sebuah kedai emas di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku di Pekan Pandak Mayah, Kuah, pada pukul 11.48 pagi kelmarin.
“Seorang lelaki memakai penutup muka dan mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas tersebut.
“Suspek seterusnya memecahkan cermin pameran barangan kemas menggunakan parang yang dibawa,” katanya di sini, kelmarin.
Jelasnya, lelaki tersebut cuba membawa lari barang kemas bernilai RM50,000 namun pemilik kedai emas dan orang awam cuba mengejar suspek.
Suspek berjaya ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
































