Liew yang mewakili Ketua Menteri, memukul gong sebagai simbolik pelancaran ATEX 2025
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sektor pelancongan terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah, dengan mewujudkan lebih 380,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.
Beliau berkata, industri pelancongan Sabah menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri tahun lalu, dengan pencapaian ketara direkodkan pada tahun 2023 apabila sektor itu menyumbang RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri.
“Namun, angka semata-mata tidak menceritakan keseluruhan kisah. Di sebalik setiap statistik itu ada kehidupan, keluarga dan individu yang menyumbang kepada ekonomi pelancongan.
“Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan memperkasa komuniti, dan kita amat berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,” katanya semasa merasmikan ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) di Magellan Sutera Resort di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai ramai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, yang digerakkan oleh individu dan keluarga dari kampung-kampung tempatan, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menawarkan pengalaman unik yang mencerminkan identiti sebenar Sabah.
“Pada ketika ini, pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah kerana potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar negeri ini.
“Pada tahun 2024, sumbangan sektor ini kepada hasil negeri berjumlah RM7 juta melibatkan 18 daerah aktif. Lebih banyak inisiatif komuniti sedang diperkenalkan di daerah-daerah luar bandar bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan industri pelancongan.
“Kita sedang melabur dalam pembangunan infrastruktur termasuk penambahbaikan berterusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pembaikan jalan raya ke kawasan pelancongan luar bandar dan penambahbaikan platform digital untuk mempromosikan serta mengurus pengalaman pelancong dengan lebih berkesan.
“Kita sedang meletakkan asas kepada ekonomi pelancongan yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan. Strategi Sabah merangkumi prinsip ekonomi hijau, pendigitalan serta peningkatan peranan Sabah sebagai lokasi utama dan tuan rumah acara pelancongan antarabangsa,” ujarnya.
Ketua Menteri berkata, Sabah beraspirasi untuk menjadi hab keamanan – sebuah negeri yang menyaksikan kemajuan ekonomi, keharmonian budaya, sejarah dan alam semula jadi serta pembangunan yang seimbang dengan tanggungjawab dan kelestarian.
“Kita ingin menjadi contoh bagaimana industri pelancongan boleh berjaya tanpa menjejaskan unsur yang menjadikannya unik – iaitu alam sekitar, budaya dan komuniti kita,” katanya.
Hajiji berkata, penganjuran ATEX 2025 merupakan satu pencapaian penting bagi Sabah kerana ia membuka peluang untuk meletakkan negeri ini bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam merangka masa depan pelancongan ASEAN.
“Kami mengalu-alukan kehadiran para pemimpin industri dari seluruh rantau ini ke Sabah, dan menjemput semua pihak untuk mempererat hubungan, memulakan kerjasama baharu dan bersama-sama meneroka masa depan pelancongan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata ATEX 2025 juga mengingatkan kita tentang betapa kuatnya gabungan sektor pelancongan, perjalanan, hospitaliti dan penerbangan.
“Gabungan ini merupakan enjin pertumbuhan yang kukuh dan mencetuskan pelbagai peluang untuk perkongsian pengalaman.
“Penganjuran ATEX 2025 di Kota Kinabalu bukan sahaja satu penghormatan bagi Sabah, malah merupakan satu platform yang penuh dengan potensi. Ia memberi peluang untuk kita saling belajar, mewujudkan jaringan baharu dan bersama-sama membentuk masa depan pelancongan di rantau ini,” katanya.


































