Masiung (tengah) menerima cenderamata daripada Dr. Roland (dua dari kanan) selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam.
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah membayangkan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) hampir pasti menjadi kenyataan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Menurutnya, keyakinan itu berasaskan beberapa kenyataan terbuka yang dibuat oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH.
“Keyakinan itu jelas memandangkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS telah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam yang diketuai Datuk Dr. Roland Chia di Dewan Masyarakat Menggatal, kelmarin.
Beliau berkata, pada masa yang sama, PH Sabah juga telah menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan dan pentadbiran Ketua Menteri.
Namun begitu, katanya, kerjasama rasmi antara kedua-dua gabungan itu hanya akan dimuktamadkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Jika kerjasama ini dimuktamadkan, GRS dan PH bakal membentuk jentera bersama di setiap daerah bagi memastikan kemenangan calon muafakat GRS dalam PRN17,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu turut menjelaskan bahawa GRS berkongsi pandangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menjalinkan kerjasama menjelang PRN17.
Katanya, GRS lebih selesa meneruskan gabungan sedia ada yang telah berjaya membentuk kestabilan politik di negeri ini.
“Hubungan kerjasama GRS dan PH dalam Kabinet Sabah masa kini sangat baik dan ini menjadi asas penting kepada kestabilan politik yang dinikmati rakyat Sabah,” ujarnya.
Masiung turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat di bawah pimpinan Hajiji bersedia menjadi ‘perisai barisan hadapan’ untuk memastikan kejayaan calon-calon muafakat GRS dalam pilihan raya nanti.
































