Redonah bersama perwakilan Gagasan Rakyat Bahagian Bandau.
BANDAU: Jentera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan perselisihan sesama sendiri ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 yang semakin hampir.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, ketika ini semua pihak perlu memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan Kerajaan yang disandang pada hari ini dan bukannya isu-isu lain yang boleh melemahkan parti.
Menurut beliau, perjuangan perlu difokuskan kepada perjuangan memastikan kepimpinan diterajui Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berjaya mendapat mandat baharu daripada rakyat dalam membawa kemajuan dan pembangunan negeri Sabah.
“Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling sokong-menyokong, saling menutupi ruang kelemahan dan kekurangan yang ada, serta saling menjayakan apa sahaja program yang dirancang. Ibarat tiang rumah yang menyokong serta batu-bata yang saling mengukuh.
“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan, selesaikan sahaja di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, kerana tiada kebaikan yang diperoleh kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengalahkan kita,” katanya pada Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Bandau di Dewan Komuniti di sini, Ahad lalu.
Persidangan dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Maijul Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau serta jawatankuasa Gagasan Rakyat Bandau dan sayap-sayap tiga pergerakan.
Redonah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau berkata, perpaduan dalam kalangan jentera akan menterjemahkan semangat saling menghormati antara anggota serta kesetiaan kepada kepimpinan.
“Tanpa perpaduan dan kesetiaan usaha dan kerja keras kita akan menjadi sia-sia. Apa lagi untuk kita pertahankan kerajaan yang diteraju Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Amat penting bagi kita semua untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri kita, malah Sabah hari ini begitu stabil, makmur dan terus bergerak maju di bawah kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera parti bahawa parti lawan sentiasa mencari kelemahan dan keburukan Gagasan Rakyat bagi menarik sokongan rakyat.
Katanya, mereka akan berusaha menanam kebencian serta memutar-belitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai khususnya ketika pilihan raya yang semakin hampir.
Sehubungan itu katanya, semua pihak tidak lagi boleh leka dalam melaksanakan gerak kerja termasuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat.


































