BANGKOK: Sebuah penerbangan Air India dari pulau Phuket, Thailand ke New Delhi terpaksa melakukan pendaratan cemas sejurus selepas berlepas akibat ancaman bom di dalam pesawat.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu berlaku hanya sehari selepas sebuah pesawat penumpang Air India yang dalam perjalanan ke London terhempas di bandar Ahmedabad, India, mengorbankan sekurang-kurangnya 265 orang.
Menurut Lapangan Terbang Thailand menerusi laman Facebook rasmi, juruterbang pesawat Airbus A320 memaklumkan kepada kawalan trafik udara bahawa satu mesej ancaman bom ditemukan di dalam pesawat.
Laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24, menunjukkan pesawat dari Phuket itu membuat pusingan-u di atas Laut Andaman sejurus selepas berlepas, kemudian berlegar beberapa kali di luar pantai pulau itu sebelum mendarat.
Seorang pegawai Lapangan Terbang Thailand berkata, semua 156 penumpang dalam penerbangan AI 379 dibawa keluar dengan selamat mengikut prosedur kecemasan.
Pihak Lapangan Terbang Thailand tidak memberikan butiran lanjut mengenai ancaman bom tersebut, manakala Air India belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Tahun lalu, syarikat penerbangan dan lapangan terbang di India dibanjiri dengan ancaman bom palsu, dengan hampir 1,000 panggilan dan mesej palsu diterima dalam tempoh 10 bulan pertama, hampir 10 kali ganda berbanding tahun 2023.


































