PENAMPANG: Polis Daerah Penampang sedang menyiasat satu kes kecurian kenderaan yang berlaku di Jalan Tambunan-Kota Kinabalu melibatkan seorang warga emas, sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 12 Jun lalu di bawah laporan Penampang/RPT/005504/2025.
“Kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang telah dilarikan oleh seorang suspek lelaki. Insiden berlaku selepas suspek melanggar kenderaan mangsa, seorang lelaki warga emas berumur 64 tahun, ketika melalui jalan sebuah kampung di Penampang,” katanya.
Menurut beliau, kes masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Anis bin Abdullah di talian 013-6365734 bagi membantu siasatan.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang maklumat palsu mengenai kejadian tersebut di mana-mana platform media sosial, bagi mengelakkan siasatan terganggu dan menimbulkan kegusaran awam.
































