Salmi menyampaikan cenderahati kepada Halizah, pemerhati pada Persidangan Wanita Gagasan Rakyat Api-Api.
KOTA KINABALU: Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api komited menyokong sepenuhnya calon yang bakal ditentukan oleh pucuk pimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketuanya, Salmi Sarinoh berkata, pihaknya akan terus berdiri teguh di belakang keputusan parti selaras dengan semangat kesetiaan dan perjuangan bersama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Wanita Gagasan Rakyat Api-Api yakin bahawa siapa pun calon yang dipilih, sama ada daripada parti komponen GRS atau Gagasan Rakyat sendiri, adalah individu terbaik untuk membawa suara rakyat dan memperjuangkan kebajikan masyarakat di DUN Api-Api.
“Kita mesti bijak menilai, terus fokus kepada kerja parti dan tidak melayan sebarang provokasi yang hanya bertujuan memecah-belahkan kesatuan kita. Ingatlah, kekuatan kita bukan hanya pada bilangan, tetapi pada kesetiaan, keikhlasan dan keteguhan pendirian dalam mempertahankan perjuangan parti,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Api-Api di sini, hari ini.

Emmie menyampaikan cenderamata kepada wakil negeri, Harnie Hisab pada Persidangan Beliawanis Gagasan Rakyat Api-Api.
Salmi berkata, jentera wanita harus memperkukuh kekuatan dalaman, menyusun gerak kerja secara lebih tersusun dan tampil berani di medan perjuangan demi memastikan kemenangan parti di kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Api-Api, Emmie Martin Idang berkata, walaupun DUN Api-Api bukan kerusi milik Gagasan Rakyat atau GRS ketika ini, ia tetap merupakan medan strategik untuk menyebarkan pengaruh dan dasar perjuangan parti.
“Kehadiran dan gerak kerja kita di kawasan ini akan membantu memperkenalkan PGRS sebagai parti yang inklusif dan prihatin kepada semua golongan – sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Bahagian Api-Api boleh berfungsi sebagai ‘pusat penyebaran maklumat dan sokongan’ kepada kawasan lain. Ramai penduduk Kota Kinabalu yang tinggal di Api-Api sebenarnya berasal dari daerah luar,” jelasnya.
Menurut Emmie, pendekatan mendekati masyarakat bandar secara langsung juga membuka ruang untuk menembusi sokongan di kawasan luar bandar menerusi hubungan kekeluargaan dan sosial.
“Sokongan yang dipupuk di Api-Api boleh menjalar ke kawasan lain di seluruh Sabah. Di sinilah peranan kita sebagai agen penyampaian dan agen perubahan menjadi efektif dalam menyebarkan maklumat, dasar serta inisiatif kerajaan pimpinan Presiden kita,” tegasnya.


































