Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan, akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi, di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan pada Rabu ini (11 Jun).
Program ini merupakan kesinambungan siri jelajah yang kini memasuki lokasi keempat, selepas penganjuran terdahulu di Beaufort, Ranau dan Tenom. Siri jelajah ini bertujuan untuk mendekati komuniti usahawan wanita muda di pelbagai daerah, sekaligus memastikan sokongan, pembiayaan dan latihan yang ditawarkan sampai secara langsung kepada kumpulan sasar di peringkat akar umbi.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, pelaksanaan program ini disesuaikan dengan keperluan dan potensi setiap lokasi agar lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.
“Setiap daerah mempunyai konteks pembangunan dan cabaran tersendiri. Oleh itu, program ini dirangka agar pendekatannya dapat disesuaikan secara lebih berkesan dengan keadaan setempat,” kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa, pelaksanaan program ini berpandukan keyakinan bahawa wanita mampu menjadi pemacu utama dalam merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Wanita merupakan penggerak ekonomi akar umbi yang paling efektif. Mereka juga mempunyai potensi, kemahiran dan keupayaan yang signifikan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.”
Program setengah hari ini akan menampilkan sesi perkongsian pengalaman daripada tokoh industri dan usahawan wanita tempatan, antaranya Masna Osman (Pengasas Nana Puteri Beauty & Wellness) dan Rahimah Asrah (Pengerusi Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi). Selain sesi bimbingan dan penerangan mengenai Skim Pinjaman DAYANG oleh SCC, peserta juga akan diberi pendedahan kepada aspek literasi digital, yang kini menjadi keperluan penting dalam mengurus dan memasarkan perniagaan.
Kira-kira 600 peserta dijangka menyertai program ini, merangkumi wanita muda dari kawasan Libaran dan sekitarnya.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Penyelaras Program, Fiona V. Loijon di fiona.loijon@ids.org.my atau talian 088-450500.


































