RIYADH: Sebuah dron pemadam kebakaran yang dinamakan ‘Falcon’ akan digunakan buat pertama kali semasa musim haji tahun ini, menurut Pengarah Jeneral Pertahanan Awam Arab Saudi pada Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, dron yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) itu direka khusus untuk operasi pemadaman kebakaran dan menyelamat di kawasan tinggi atau sukar diakses.
Dron ini mempunyai masa penerbangan operasi sehingga 12 jam di altitud tinggi dan mampu membawa muatan sekitar 40 kilogram, menurut laporan itu.
Ia dilengkapi dengan sistem pemadaman pelbagai guna, serta sistem keselamatan, kawalan dan penyelamatan yang terintegrasi. Keupayaannya termasuk kamera termal dan siaran rakaman secara langsung dari lokasi yang boleh disambungkan terus ke pusat kawalan dan arahan.
SPA melaporkan dron ini boleh digunakan dalam pelbagai situasi seperti bangunan tinggi, tapak industri, kawasan bahan berbahaya, kawasan sesak dan kebakaran hutan.
Kelebihannya termasuk tindak balas pantas, mengurangkan risiko terhadap anggota penyelamat dan meningkatkan keberkesanan keputusan melalui imej masa nyata.
Pengarah Jeneral Pertahanan Awam, Mejar Jeneral Hamoud bin Suleiman Al-Faraj mengumumkan perkara itu dalam sidang media bersama Komander Pasukan Keselamatan Haji.
Hamoud turut menekankan pentingnya langkah pencegahan seperti lawatan pemeriksaan awal ke kediaman jemaah haji, rondaan keselamatan dan pelaksanaan beberapa senario bersama pihak berkuasa berkaitan di lokasi suci.
Usaha-usaha ini katanya, bertujuan meningkatkan koordinasi dan tindak balas optimal terhadap situasi kecemasan dengan sokongan pasukan intervensi pantas yang bersedia 24 jam.































