Fadillah Yusof
PUTRAJAYA: Negara rugi RM2.981 bilion akibat kebocoran paip menyebabkan pembaziran 7.2 bilion liter air terawat sehari (JLH) pada 2023.
Menurut Utusan Malaysia, kebocoran paip yang tinggi menyaksikan negara merekodkan penghasilan Air Tidak Terhasil (NRW) pada kadar 37.1 peratus. Ia menyebabkan kerugian besar kepada industri apabila air berkenaan tidak sampai kepada pengguna akhir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kadar NRW yang tinggi berpunca daripada kebocoran paip penghubung dan paip-paip lama terutama paip jenis Asbestos Cement (AC) yang dipasang antara 30 hingga 50 tahun lalu.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, setakat suku keempat tahun lalu, sebanyak 30 peratus paip sistem agihan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan atau sepanjang 42,232 kilometer (km) daripada 140,924 km adalah daripada jenis berkenaan.
Menurut beliau, lima negeri mencatatkan kadar NRW tertinggi iaitu Perlis sebanyak 64.5 peratus, Sabah (55 peratus), Kelantan (54.5 peratus), Kedah (50.7 peratus) dan Pahang (47.7 peratus).
Sejak 2018, katanya, kadar NRW tidak banyak berubah iaitu sekitar 36.2 peratus dengan anggaran kerugian sebanyak RM1.705 bilion setahun membabitkan pembaziran air terawat sebanyak 6,222 JLH.
Kadar NRW menurun sedikit pada 2019 iaitu 35.6 peratus (kerugian RM1.720 bilion; 6,314 JLH); namun meningkat semula pada 2020 kepada 36.4 peratus (kerugian RM2.036 bilion; 6,545 JLH) dan meningkat lagi tahun berikutnya (37.2 peratus; kerugian RM 2,772 bilion; 7,084 JLH).
“Bagi mencapai sasaran pengurangan NRW, kementerian telah memulakan Program Pengurangan NRW Kebangsaan pada 2018 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.907 bilion.
“Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) juga telah memperkenalkan skim pembiayaan jangka pendek kepada operator-operator air untuk melaksana sebahagian daripada skop NRW.
“Antaranya, pemasangan dan penukaran meter, pengesanan dan pembaikan kebocoran, serta pembangunan dan pembentukan Pressure Management Area (PMA),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fadillah berkata, pinjaman jangka pendek selama tujuh tahun itu tersedia buat negeri-negeri yang telah menyertai Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air.
Katanya, operator air juga boleh memohon untuk melaksanakan program NRW (penggantian paip lama dan uzur) dalam pelan perniagaan masing-masing yang kemudiannya akan disemak dan diluluskan oleh PAAB.
“Sejumlah RM2.2 bilion telah diluluskan bagi pelaksanaan 520 projek sepanjang 4,372 km mulai tahun 2010 hingga Disember 2023,” katanya.
Fadillah berkata, tanggungjawab untuk mengurangkan kadar NRW terletak di bawah operator air di setiap negeri.
Operator air yang telah memasuki skim penstrukturan semula industri perkhidmatan air boleh menggunakan peruntukan sendiri atau mendapatkan pembiayaan daripada PAAB untuk melaksana program penggantian paip.
Namun, jelasnya, kerajaan komited untuk mengurangkan NRW melalui pelbagai usaha termasuk penambahbaikan Program Pengurangan NRW Kebangsaan yang diluluskan pada Julai 2024 dengan kos sebanyak RM2.525 bilion bermula tahun ini hingga 2030.
“Kerajaan menyasarkan NRW Kebangsaan pada kadar 28.8 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Beberapa inisiatif telah dirangka kerajaan di bawah program penambahbaikan pelaksanaan NRW Kebangsaan antaranya, penggantian paip kritikal di seluruh negara, pelaksanaan penyelesaian NRW holistik seperti District Metering Zone (DMZ) dan PMA.
Inisiatif lain termasuk pelaksanaan pembangunan model hidraulik dan Active Leakage Control (ALC) di negeri-negeri seperti Pahang, Kelantan, Sabah, Sarawak, Perlis dan Labuan yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) dan PAAB.
Fadillah berkata, masalah NRW akan mengakibatkan operator air mengalami kerugian hasil dan menjejaskan keupayaan mereka dalam penyelenggaraan, menaik taraf infrastruktur sistem bekalan air sedia ada dan membina sistem bekalan air baharu.
Ini termasuk loji rawatan air, rangkaian paip dan takungan perkhidmatan seterusnya menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
“Selain itu, keupayaan operator air dalam memastikan kemampanan bekalan air kepada pengguna juga akan terjejas sekali gus merencatkan pertumbuhan sektor ekonomi seperti pertanian, perindustrian dan perkhidmatan.
“Sektor ekonomi ini memerlukan bekalan air bersih yang stabil. Ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta melemahkan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.


































