SYDNEY: Victoria menjadi negeri pertama di Australia yang menguatkuasakan larangan penjualan parang, susulan insiden pergaduhan melibatkan senjata itu di sebuah pusat beli-belah di Melbourne.
Menurut Utusan Malaysia, larangan, yang pada asalnya dijadual bermula pada September, kini berkuat kuasa di negeri Victoria pada Rabu, selepas dua kumpulan samseng menyerang antara satu sama lain di pusat beli-belah di Northland, Preston pada petang Ahad.
Ketua Menteri Victoria, Jacinta Allan berkata, larangan itu akan menyekat bekalan, sambil menegaskan masyarakat dan pihak polis tidak sepatutnya berdepan dengan senjata seperti itu di pusat beli-belah.
Dua remaja lelaki berusia 16 dan 15 tahun, didakwa pada Ahad atas kesalahan bergaduh, sengaja menyebabkan kecederaan dan memiliki serta menggunakan senjata terkawal.
Polis turut memaklumkan dua lagi lelaki, masing-masing berusia 20 dan 18 tahun, ditahan dan sedang disiasat.
Timbalan Pesuruhjaya Polis, David Clayton berkata, insiden itu merupakan pergaduhan yang dirancang antara dua kumpulan samseng remaja, namun tiada orang awam tercedera.
Menurut Clayton, satu daripada setiap 10 jenayah melibatkan senjata tajam di negeri itu dilakukan oleh golongan muda dan kebanyakannya berlaku di tempat awam.
Polis berkata, tiga daripada empat bilah parang yang digunakan dalam serangan turut dirampas, selain memaklumkan lebih banyak tangkapan dijangka dibuat.
Allan menyifatkan serangan itu sebagai ‘mengerikan’.
“Kita tidak boleh biarkan tempat awam, untuk orang ramai menikmati hujung minggu mereka, menjadi tempat paling ditakuti.
“United Kingdom mengambil masa 18 bulan untuk melaksanakan larangan terhadap senjata parang dan kami bergerak ke arah itu dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya.
Mac lalu, kerajaan negeri Victoria mengumumkan pindaan kepada Akta Kawalan Senjata, menjadikan penjualan dan pemilikan parang sebagai satu kesalahan, dengan undang-undang itu dijadual bermula pada September.
Larangan itu merangkumi parang yang ditakrifkan sebagai pisau dengan bilah pemotong melebihi 20 sentimeter.
Ia tidak termasuk pisau yang digunakan untuk tujuan dapur.
































