RIYADH: Arab Saudi bakal melaksanakan perubahan dasar yang mengejutkan apabila mengumumkan langkah umembenarkan penjualan minuman keras seperti wain, bir dan cider di 600 lokasi pelancongan terpilih menjelang tahun 2026.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha besar-besaran Putera Mahkota, Mohammad bin Salman, menerusi inisiatif Vision 2030 bagi memperkukuh industri pelancongan, menarik pelaburan asing serta memperbaiki imej konservatif negara itu di mata dunia, khususnya menjelang penganjuran Piala Dunia FIFA 2034 dan Ekspo Dunia 2030.
Menurut kenyataan rasmi, penjualan arak akan dibenarkan di premis berlesen seperti hotel bertaraf lima bintang, pusat peranginan mewah serta kawasan kediaman yang mesra ekspatriat namun, larangan terhadap arak berhampiran tempat awam, kediaman persendirian, kedai runcit serta zon peminat masih dikekalkan, manakala minuman keras dengan kandungan alkohol melebihi 20 peratus tidak dibenarkan sama sekali.
“Matlamat kami ialah untuk menyambut kehadiran dunia tanpa mengorbankan identiti budaya, sekali gus menjadikan Arab Saudi sebagai pemain pelancongan global yang progresif namun tetap berpegang pada nilai,” jelas kenyataan itu lagi.
Antara kawasan yang dijangka menjadi tumpuan pelaksanaan dasar baharu ini termasuk projek mega seperti Neom, Pulau Sindalah dan Projek Laut Merah.
Pegawai pelancongan negara itu turut berharap pendekatan baharu ini akan membolehkan Arab Saudi bersaing dengan negara Teluk lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, yang telah lama membenarkan jualan arak di kawasan pelancongan mereka.
Sumber kerajaan memaklumkan pelaksanaan sistem jualan akan dikawal ketat dengan hanya kakitangan yang terlatih dibenarkan mengendalikan penjualan, selain tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan ketat bagi memastikan ia dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai Islam.
Dasar ini turut dijangka membuka ruang kepada peluang pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa dalam sektor hospitaliti dan pelancongan, sekali gus menyumbang kepada agenda pemodenan negara.
Menurut sumber dalaman, model pelaksanaan dasar ini diinspirasikan daripada kejayaan pelaksanaan kawalan arak di Dubai dan Manama, di mana peraturan ketat membolehkan sektor pelancongan dan perniagaan berkembang tanpa menjejaskan tradisi tempatan.
“Penjualan hanya akan dilakukan dalam persekitaran yang terkawal, dengan kakitangan perkhidmatan berlesen dan peraturan operasi yang jelas bagi memastikan alkohol dikendalikan secara bertanggungjawab dan beradab,” kata satu kenyataan kerajaan.
Langkah tersebut menegaskan liberalisasi ini bukanlah bersifat terbuka sepenuhnya, sebaliknya dirancang dengan teliti untuk menjaga keseimbangan antara keterbukaan dan keutuhan budaya Islam.
































