Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang, namun gabungan itu mesti terus menjadi peneraju utama pentadbiran negeri, kata Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Selagi GRS mempunyai majoriti mutlak, kita mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana parti lain. Yang penting, GRS mesti di tempat pemandu (driving seat),” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau ditanya tentang kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah yang menyatakan hasrat parti itu bertanding 13 kerusi pada PRN17.
Mengenai spekulasi kehadiran semula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam arena politik Sabah, Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang rundingan bersama parti tersebut setakat ini.
“Mereka boleh datang kerana ini negara demokrasi bebas. Setakat yang saya tahu, kita belum lagi bercakap atau berbincang bersama-sama dengan Bersatu. Malah untuk PRN pun, tiada perbincangan khusus.
“Jadi, kalau semua orang mahu bertanding, kita adakanlah pertandingan mesra (friendly contest). Kalau boleh, GRS menang tanpa bertanding, lagi lawa. Tapi saya rasa itu sukar berlaku,” katanya.
Mengenai kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah baru-baru ini yang menyatakan GRS menyasarkan 52 kerusi dalam PRN akan datang, Dr. Joachim menegaskan bahawa PBS dan StarSabah adalah sebahagian daripada GRS, dan strategi serta sasaran gabungan adalah tanggungjawab bersama.
“GRS termasuk PBS dan StarSabah. Jadi kita semua bersama-sama. Fokus kita ialah kemenangan GRS,” katanya.
Ketika ditanya sama ada PBS akan membuat sebarang permintaan khusus mengenai pengagihan kerusi, Dr. Joachim berkata, rundingan akan diadakan seperti kebiasaannya, namun keputusan akhir perlu memberi keutamaan kepada kebolehmenangan.
“Memang selalu kita minta, kita akan bincang. Tapi apa yang lebih penting ialah kerusi itu boleh dimenangi. GRS mesti menang. Jangan fikir pasal parti masing-masing, yang penting GRS,” tegasnya.
GRS kini merangkumi lapan parti komponen termasuk Gagasan Rakyat, PBS, StarSabah, SAPP, Usno, PHRS, LDP dan PCS.

































