Dr. Joachim (empat dari kiri) menyampaikan Notis Anti Gangguan Seksual kepada Pengarah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau, Dr. Kogilavani Anak Perempuan Subermaniam.
TAWAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketara kes gangguan seksual di seluruh negara, sambil menggesa tindakan bersepadu semua pihak untuk menangani isu itu dengan lebih serius.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada tahun 2022, meningkat kepada 522 kes pada 2023 dan melonjak kepada 788 kes sepanjang tahun 2024.
“Setakat Mac 2025 sahaja, sudah terdapat 214 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu, lima kes berlaku di Sabah,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau malam ini.

Dr. Joachim (empat dari kiri) bersama tetamu kehormat yang hadir menyempurnakan gimik perasmian majlis itu.
Dr. Joachim berkata, angka peningkatan itu menunjukkan betapa seriusnya masalah gangguan seksual dan keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat, selain memperkukuh saluran bantuan kepada mangsa.
“Gangguan seksual merupakan perlakuan tidak bermoral yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, umur, bangsa mahupun agama. Ia perlu dicegah dari peringkat awal kerana jika dibiarkan, boleh membawa kepada jenayah yang lebih serius seperti rogol dan keganasan terhadap wanita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik inisiatif KPWKM yang memperkenalkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sebagai saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk memudahkan proses aduan dengan cepat, mudah dan kos minimum.

Dr. Joachim ketika memberikan ucapan dalam majlis itu.
Majlis malam ini turut menyaksikan penyerahan Notis Anti Gangguan Seksual kepada jabatan dan agensi berkaitan sebagai simbolik komitmen kerajaan dalam usaha mencegah jenayah berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Joachim turut menggesa lebih ramai mangsa untuk tampil membuat laporan dan menuntut keadilan.
“Keganasan terhadap wanita bukan isu terpencil. Ramai mangsa masih takut untuk bersuara kerana stigma, tekanan sosial atau tidak tahu saluran untuk mendapatkan bantuan. Kita semua bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong mangsa untuk bangkit membela diri,” tegasnya.
Terdahulu, beliau memuji keberhasilan Program Kembara Kasih KPWKM 2025 yang menjelajah enam daerah di Sabah termasuk Tuaran, Papar, Penampang, Lahad Datu, Kunak dan berakhir di Tawau hari ini.
Sebanyak 34 program melibatkan pelbagai agensi di bawah KPWKM dilaksanakan sepanjang kembara tersebut yang menyasarkan kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Program seperti Ziarah Kasih yang menyampaikan bantuan secara terus kepada klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mendapat sambutan positif masyarakat setempat.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi mewakili Menteri KPWKM; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Haji Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dan ADUN Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit serta para pegawai kanan kementerian dan jabatan berkaitan.
Dr. Joachim yang diiringi isteri, Datin Seri Linda Ewit turut menyampaikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih Sabah sebagai destinasi Kembara Kasih pada tahun ini.


































